Ribuan hadir Perhimpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim!!

Ketibaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh ribuan yang hadir memenuhi Padang Timur, Petaling Jaya untuk acara Himpunan Merdeka Rakyat malam ini.

Anwar yang tiba dengan kereta hitam sambil diiringi kereta pengiring polis dihurung hadirin sehingga beliau kelihatan susah untuk keluar dari kereta.

Sebaik tiba di pentas, hadirin bersorak gemuruh sekali lagi dengan beberapa bendera PKR dapat dilihat dikibarkan.

Selepas menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara atas sabitan kesalahan liwat, Anwar hari ini dibebaskan setelah mendapat pengampunan diraja.

Penyokong Pakatan Harapan (PH) dan rakyat umumnya mula membanjiri Padang Timur di sini malam Rabu sempena Perhimpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program anjuran Angkatan Muda Keadilan itu bakal dihadiri pimpinan PKR dan PH. Dilaporkan, himpunan ini akan dihadiri lebih 10,000 rakyat dan penyokong PH dari seluruh negara.

Segelintir penyokong memakai baju yang memaparkan wajah Ketua Umum PKR itu, dan antaranya tertera perkataan “I’m Back” (Saya Kembali).

Solat Maghrib dan Isyak diadakan di sini, disusuli solat hajat.

 

ANWAR IBRAHIM

Dato’ Seri Diraja Anwar bin Dato’ Ibrahim (lahir 10 Ogos 1947) ialah seorang ahli politik Malaysia, yang berkhidmat sebagai ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia, atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Di peringkat akar umbi, Datuk Seri Anwar merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat dan ketua umum Pakatan Rakyat. Semasa awal kerjaya politiknya, beliau merupakan ‘anak didik’ Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi kemudiannya tampil sebagai seorang pengkritik Tun Dr. Mahathir yang lantang.

Dalam tahun 1999, beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa. Pada tahun 2000, iaitu selama sembilan tahun kerana didakwa melakukan kesalahan di luar tabii (liwat). Walau bagaimanapun, pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mengugurkan sabitan kesalahan liwat kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa perbuatan meliwat tersebut telah berlaku. Oleh itu, beliau telah dibebaskan. Pada Julai 2008, beliau telah ditahan sekali lagi atas tuduhan dakwaan bahawa beliau telah meliwat pembantu peribadinya iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Namun pada tanggal 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah atas kes liwat kedua yang dihadapi oleh beliau dan melepaskan beliau daripada sebarang pertuduhan liwat.

Pada 26 Ogos 2008, Anwar telah berjaya memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN yang juga merupakan ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah, bersama-sama calon AKIM Hanafi Mamat seterusnya kembali ke parlimen sebagai ketua pembangkang Malaysia. Beliau telah menyatakan perlunya liberalisasi, termasuklah satu kehakiman dan media, untuk melawan rasuah yang endemik yang beliau dakwa menjadi sebab penolakan negara lantas menjadi status sebuah negara yang gagal.

Anwar merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008.

Sumber 1 : mstar

Sumber 2 : malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*